MAT IJA










Monday, June 30, 2008

FADHILAT BERZIKIR KEPADA ALLAH


Oleh: Ustaz Shauqi


Nabi saw bersabda, maksudnya: “Dua perkataan yang mudah dituturkan oleh lidah, berat timbangannya di dalam mizan (neraca timbangan disisi Allah), dan disukai oleh al-Rahman (Allah) iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil ‘azim”.(Muttafaqun 'alaih)

Sabda nabi saw dalam hadis yang lain, maksudnya: ‘Menyebut subhanallah, alhamdulillah, lailahaillallah, dan allahu akbar lebih aku sukai daripada terbitnya matahari’. (Hadis riwayat Imam Muslim)

Sabda nabi saw lagi, maksudnya: ‘Bandingan orang yang berzikir kepada Allah dengan orang yang tidak berzikir adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati’. (Hadis riwayat Imam Bukhari)


Pada suatu hari nabi saw telah menyatakan kepada para sahabat baginda: ‘Tidak mampukah kamu untuk mendapatkan seribu kebajikan pada setiap hari?. Lalu Rasulullah saw pun ditanya tentang cara untuk mendapatkannya. Lantas Rasulullah menyatakan apabila seseorang itu bertasbih sebanyak seratus kali, maka akan ditulis untuknya seribu kebajikan dan dihapuskan daripadanya seribu dosa. Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Sabda nabi saw:

من قال سبحان الله وبحمده، في يوم مائة مرة، حُطَّتْ خطاياه وإن كانت مثل زبد البحر – متفق عليه

Maksudnya: ‘Sesiapa yang mengucapkan subhanallah wabihamdihi sehari seratus kali, digugurkan dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan’. (muttafaqun 'alaih)

Monday, June 23, 2008

PERINGATAN UNTUK ORANG YANG LALAI DARI JALAN ALLAH

AL ARAF (179)...






Sunday, June 22, 2008

BERSIN DAN MENGUAP..


Oleh:Ustaz Shauqi Othman

Rasulullah bersabda:
عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( إن الله يحب العطاس ويكره التثاؤب، فإذا عطس فحمد الله فحق على كل مسلم سمعه أن يشمته، وأما التثاؤب فإنما هو من الشيطان فليرده ما استطاع، فإذا قال: ها، ضحك منه الشيطان )) صحيح البخاري في الأدب 6223

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bersin dan membenci orang yang menguap, maka jika seseorang itu bersin maka pujilah Allah, maka setiap orang yang mendengar pujian itu hendaklah menjawabnya (dengan mengucapkan rahmat kepadanya); adapun menguap, maka ia datang daripada syaitan, maka lawanlah ia sekuat kemampuanmu. Dan apabila seseorang menguap dan terdengar bunyi: Aaaa, maka syaitan pun tertawa kerananya". Sahih Bukhari, 6223.

Imam Ibn Hajar berkata, "Imam Al-Khathabi mengatakan bahawa makna suka dan benci pada hadis di atas dikembalikan kepada sebab yang termaktub dalam hadis itu. Iaitu bahawa bersin terjadi kerana badan yang kering dan tidak tercapainya rasa kenyang. Ini berbeza dengan orang yang menguap. Menguap terjadi kerana badan yang kekenyangan, dan badan terasa berat untuk beraktiviti, hal ini kerana banyaknya makan . Bersin boleh menggerakkan orang untuk beribadah, sedangkan menguap menjadikan orang itu malas”. (Fath-hul Baari: 10/6077)

Nabi menjelaskan bagaimana seseorang yang mendengar orang yang bersin dan memuji Allah agar membalas pujian tersebut.

Rasulullah bersabda:

(( إذا عطس أحدكم فليقل الحمد لله، وليقل له أخوه أو صاحبه: يرحمك الله، فإذا قال له يرحمك الله فليقل: يهديكم الله ويصلح بالكم )) صحيح البخاري في الأدب: 6224

Apabila salah seorang diantara kalian bersin, maka ucapkanlah Alhamdulillah, dan hendaklah orang yang mendengarnya menjawab dengan Yarhamukallah, dan bila dijawab demikian, maka balaslah dengan ucapan Yahdikumullahu wa Yushlihubaalakum (HR. Bukhari, 6224)

Para doktor di zaman sekarang mengatakan bahawa, "Menguap adalah gejala yang menunjukkan bahawa otak dan tubuh orang tersebut memerlukan oksigen dan nutrisi; dan kerana organ pernafasan kurang dalam membawa oksigen kepada otak dan tubuh. Hal ini terjadi ketika kita sedang mengantuk, lesu, dan seumpamanya. Menguap adalah aktiviti menghirup udara dalam-dalam melalui mulut, sedangkan mulut bukanlah organ yang sepatutnya digunakan untuk menghirup udara kerana ia tidak mempunyai penyaring udara seperti hidung. Maka, apabila mulut berada dalam keadaan terbuka ketika menguap, maka akan masuk juga pelbagai jenis mikrob dan debu, bersamaan dengan masuknya udara ke dalam tubuh. Oleh kerana itu, datang petunjuk nabawi yang mulia agar kita melawan "menguap" ini sekuat kemampuan kita, atau pun menutup mulut ketika menguap.

Bersin pula adalah berbeza daripada menguap kerana ia mengeluarkan udara dengan keras, kuat disertai hentakan melalui dua lubang: hidung dan mulut. Maka akan terkeluar daripada badan bersamaan dengan bersin ini sejumlah kotoran seperti debu, atau mikrob yang terkadang masuk ke dalam organ pernafasan. Oleh kerana itu, secara tabiat, bersin membawa manfaat yang besar bagi tubuh. Manakala menguap pula mendatangkan bahaya bagi tubuh. Justeru, setiap orang hendaklah memuji Allah ketika bersin, dan agar meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk ketika sedang menguap.

Wednesday, June 18, 2008

KEDUDUKAN ANJING DI DALAM AJARAN ISLAM


Oleh: Shawqi al-Yarmouki

Apabila disebut sahaja anjing, maka bermacam-macam persepsi akan timbul. Ada yang jijik melihat anjing, ada pula yang begitu mesra dengan anjing, dan ada pula orang yang apabila marah akan menggunakan perkataan ‘anjing’ sebagai salah satu kata-kata nista dan keji yang dihamburkan. Bagi masyarakat Melayu Islam pula, anjing merupakan binatang yang paling tidak digemari dan mereka akan sedaya upaya menjauhkan diri daripada binatang tersebut. Lantaran itu boleh dikatakan masyarakat Melayu ‘tidak berani’ mendekati anjing, apa lagi menyentuhnya.

Namun, kadang-kadang masyarakat menjadi ‘confuse’ apabila melihat rancangan-rancangan TV yang memaparkan orang Islam di luar negara begitu mesra dengan anjing peliharaan. Terdapat juga di kalangan orang Arab yang memelihara anjing dalam keadaan mereka berjubah dan berserban. Jadi, mungkin timbul di benak pemikiran masyarakat kita, bagaimanakah kedudukan anjing sebenarnya di dalam Islam? Adakah ia binatang yang haram dipelihara ekoran najis mughallazahnya, atau sebaliknya?

Sebenarnya, anjing sebagai binatang yang dianggap najis, termaktub di dalam hadis yang sahih. Justeru, menurut jumhur fuqahak, anjing membawa najis mughallazah. Ia berdasarkan perintah Rasulullah agar membasuh bekas yang dijilat anjing sebanyak tujuh kali dimulakan dengan air yang dicampur tanah. Nabi Muhammad saw bersabda, maksudnya: “Sucinya bejana (bekas) salah seorang daripada kamu yang dijilati anjing adalah dengan dibasuh bejana itu tujuh kali dengan air dan pada basuhan pertama dicampur dengan tanah.” (Hadis Riwayat. Muslim, Abu Daud dan Ahmad). Mungkin timbul persoalan mengapa Rasulullah menyuruh umatnya menggunakan tanah untuk menyuci bekas yang dijilat anjing? Hikmah yang sebenarnya, hanya Allah sahaja Maha Mengetahui. Namun, ada pendapat yang mengatakan bahawa dalam air liur anjing ada bakteria yang hanya dapat dimatikan oleh tanah yang dicampur air.

Walaupun Rasulullah mengarahkan agar membasuh bekas jilatan anjing sebanyak tujuh kali, namun ini tidak bermakna Islam menganggap anjing sebagai makhluk hina yang wajib dibenci dan dijauhi. Ini kerana Islam mengajar kita supaya mempunyai sifat rahmat di antara sesama makhluk, termasuk kepada binatang. Walau apa pun persepsi manusia terhadap anjing, ia merupakan salah satu daripada makhluk yang diciptakan Allah di atas muka bumi ini. Sekiranya seseorang itu melakukan kebaikan pada mana-mana makhluk Allah, maka sudah tentu akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Dalam sebuah hadis diceritakan bagaimana seorang lelaki diampunkan dosanya kerana menolong seekor anjing yang kehausan. Abu Hurairah berkata, Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Ketika seorang lelaki berjalan di suatu jalan, dia terlalu dahaga. Tiba-tiba dia menemui sebuah perigi. Oleh kerana tiada timba untuknya menceduk air dari perigi itu, dia pun turun ke dalamnya dan meminum air sehingga puas. Kemudian dia naik ke atas dan ternampak seekor anjing terjelir-jelir lidahnya menjilat pasir kerana tersangat dahaga. Lelaki itu berkata kepada dirinya sendirinya: Anjing ini haus seperti apa yang aku rasakan sebelum ini. Lalu dia turun semula ke dalam perigi dan mengisi air ke dalam kasutnya. Dia memegang kasut yang dipenuhi air itu dengan mulutnya sambil memanjat naik ke atas. Kemudian dia memberi anjing itu minum. Lantas Allah mengampunkan dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.”Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah dengan menolong haiwan kita mendapat pahala juga?” Baginda menjawab: “Ya! Menolong setiap makhluk bernyawa akan diberi pahala.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Walaubagaimanapun, Islam telah menetapkan beberapa peraturan berkaitan dengan anjing ini, apatah lagi apabila ia termasuk dalam najis mughallazah. Contohnya ialah masalah memelihara anjing, adakah ia dibenarkan oleh syara' atau tidak? Oleh itu, hendaklah dilihat maksud pemeliharaan itu sama ada untuk menjaga kemaslahatan manusia atau tidak. Jika ya, maka hukumnya boleh, dan apabila tidak, maka hukumnya haram.

Menurut Prof Dr Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Halal wa Haram fi al-Islam, termasuk yang dilarang oleh Nabi ialah memelihara anjing di dalam rumah tanpa ada sesuatu keperluan. Nabi bersabda: "Barangsiapa memelihara anjing tidak untuk keperluan berburu atau penjagaan, maka pahalanya akan berkurang sebanyak satu qiroth bagi setiap hari" (Muttafaq 'Alaih)

Pemeliharaan anjing tanpa sebarang keperluan dilarang kerana malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang terdapat di dalamnya anjing. Sabda nabi: "Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada di dalamnya anjing dan gambar" (Muttafaq 'alaih). Daripada Ibn Umar r.a.meriwayatkan bahawa malaikat Jibril as berjanji akan datang menemui Rasulullah s.a.w. Setelah sekian lama menanti, Jibril as tidak juga muncul. Lalu Rasulullah saw pun keluar, dan baginda menemui Jibril di luar. Rasulullah mengadu akan kelewatan tibanya. Jibril menjelaskan dengan berkata: "Sesungguhnya kami tidak memasuki rumah yang ada anjing dan gambar" (Hadis riwayat al-Bukhari). Abu Hurairah r.a mengatakan bahwa Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya : “Malaikat tidak akan menemani kelompok manusia yang di tengah-tengah mereka terdapat anjing". [Hadis Riwayat Muslim].

Menurut Abdul Qadir Ahmad 'Ata menerusi bukunya Haza Halal wa Haza Haram, antara sebab malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing ialah anjing merupakan binatang yang banyak makan benda-benda kotor serta mempunyai bau yang kurang menyenangkan yang tidak disukai oleh para malaikat. Sebahagian ulama lain pula ada yang berpendapat, bahawa hikmah dilarangnya memelihara anjing di rumah ialah apabila anjing itu menyalak, ia akan menakutkan tetamu yang berkunjung ke rumah.


Imam al-Qurthubi berkata : "Telah terjadi ikhtilaf di antara para ulama tentang sebab-sebab Malaikat Rahmat tidak memasuki rumah yang di dalamnya terdapat anjing. Sebahagian ulama mengatakan bahawa anjing itu najis, dan ada pula yang mengatakan bahawa ada anjing yang diserupai oleh syaitan. Malaikat yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing itu ialah malaikat tertentu sahaja seperti Malaikat Jibril dan Malaikat Rahmat. Manakala malaikat-malaikat lain tetap akan masuk ke dalam rumah yang mempunyai anjing. Ini kerana terdapat nas-nas yang menunjukkan malaikat ada di mana-mana bersama anak Adam, khususnya Raqib dan 'Atid yang mencatat segala amalan manusia. Apatah lagi malaikat maut, akan masuk mana-mana rumah untuk mencabut nyawa penghuninya yang sudah sampai waktu ajalnya.



Manakala Ibnu Hajar dalam al-Fath al-Bari pula berkata : "Ungkapan malaikat tidak akan memasuki rumah ...." menunjukkan malaikat secara umum (malaikat rahmat, malaikat hafazah, dan malaikat lainnya)". Akan tetapi pendapat yang dikemukakan oleh Ibnu Wadhdhah, Imam Al-Khathabi, dan yang lainnya mengatakan : "Kecuali malaikat hafazah, mereka tetap memasuki rumah setiap orang kerana tugas mereka adalah mendampingi manusia sehingga tidak pernah berpisah sedetik pun dengan manusia. Sedangkan yang dimaksud dengan malaikat (yang tidak memasuki rumah yang mempunyai anjing) ialah malaikat rahmat (yang suka memohon keampunan untuk manusia) bukan malaikat hafazhah yang menjaga manusia. [Lihat Syarah Shahih Muslim 14/94].



Ringkasnya, Islam melarang memelihara anjing tanpa sebarang keperluan kerana Islam merupakan agama yang mencintai kebersihan. Tambahan itu, larangan tersebut adalah kerana malaikat Rahmat tidak akan masuk kedalam rumah orang yang memelihara anjing di dalamnya.

Akan tetapi, anjing yang dipelihara kerana ada kepentingan dan maslahat bagi manusia, seperti untuk berburu, menjaga tanaman, menjaga binatang dan sebagainya adalah dikecualikan daripada larangan ini. Ini kerana terdapat hadis Rasulullah yang mengharuskannya. Sebagai contohnya ialah sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa yang memelihara anjing, selain anjing pemburu atau penjaga tanaman dan binatang, maka pahalanya akan berkurang setiap hari satu qirat." (Riwayat Jamaah)



Berdasarkan hadis tersebut, sebahagian ulama' fekah berpendapat bahawa larangan memelihara anjing itu hanya makruh, bukan haram, sebab kalau sesuatu yang haram, sama sekali tidak boleh dilakukan sama ada pahalanya itu berkurang atau tidak. Justeru, al-Khattabi dan Qadhi ‘Iyad berkata, malaikat hanya tidak memasuki rumah orang yang membela anjing tanpa keperluan, tapi bagi mereka yang memelihara anjing untuk tujuan buruan, malaikat rahmat tetap masuk ke dalam rumah itu. Namun, Imam Nawawi menyanggah pendapat ini dengan menyatakan hadis tersebut bersifat umum, jadi malaikat Rahmat tidak akan masuk ke dalam rumah yang memelihara mana-mana anjing sekalipun.



Di samping itu, terdapat hadis-hadis lain yang menerangkan tentang keharusan memelihara anjing dengan tujuan untuk pengawalan atau untuk berburu sekiranya dijaga batas-batas pergaulan dengan binatang tersebut. Antaranya ialah: "Daripada Abu Tsa'labah al-Khasyni berkata; Aku pernah bertanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami berada di kawasan berburu, aku berburu dengan anak panahku dan dengan menggunakan anjingku yang terlatih (yang diajar) serta anjingku yang belum terlatih, manakah yang dibolehkan untukku ?" Rasulullah saw menjawab: "apa yang telah engkau buru dengan anak panahmu dan engkau sebut nama Allah sebelumnya, makanlah. Dan yang telah engkau buru dengan anjingmu yang tidak terlatih, lalu kamu sempat menyembelihnya, maka makanlah". (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Kesimpulan perbincangan ini, dapat dinyatakan bahawa memelihara anjing hanya dibenarkan apabila wujud keperluan untuk menjaga maslahah manusia. Namun begitu, sekiranya tidak didasarkan kepada apa-apa keperluan, maka pemeliharaan anjing adalah haram dan dilarang. Ini berikutan 'najis mughallazah' yang terdapat pada anjing tersebut dan kesan pemeliharaan tersebut menyebabkan malaikat Rahmat tidak memasuki rumah penghuninya. Justeru, apabila kita melihat kepada kebanyakan anggota masyarakat dalam negara kita, didapati bahawa anjing tidaklah merupakan suatu keperluan untuk dipelihara. Jadi, tidak sewajarnya kita memandang remeh dalam soal ini, dan tidak sewajarnya kita terpengaruh dengan perlakuan orang lain sebagaimana yang dipaparkan di kaca televisyen. Apatah lagi najis yang terdapat pada anjing itu sememangnya sudah diketahui dan dimaklumi!!.

Sunday, June 15, 2008

WARNA HIJAU DALAM ALQURAN

Oleh:Ustaz Shauqi Othman


Terdapat banyak perkataan "hijau" di dalam ayat Al-Qur'an yang menjelaskan keadaan penghuni syurga ataupun segala yang ada disekelilingnya, berupa kenikmatan, suasana, kesenangan, dan ketenangan jiwa. Contohnya ialah di dalam surah Al-Rahman:

متّكئين على رفرفٍ خضرٍ وعبقريٍ حسان (الرحمن: 76)

Maksudnya: “Penduduk syurga itu (bersenang-senang di dalamnya dengan) berbaring di atas (bantal-bantal dan) cadar-cadar yang hijau warnanya serta permaidani-permaidani Yang sangat indah”. (QS. Al-Rahman: 76)

عاليهم ثياب سندسٍ خضر وإستبرق وخلوا أساور من فضّة وسقاهم ربّهم شرابا طهورا (الإنسان: 21)

Maksudnya: “Mereka di dalam syurga memakai pakaian hijau yang diperbuat dari sutera halus dan sutera tebal (yang bertekat), serta mereka dihiasi dengan gelang-gelang tangan dari perak; dan mereka diberi minum oleh Tuhan mereka Dengan sejenis minuman (yang lain) yang bersih suci”. (Q.S. Al-Insan: 21)

ويلبسون ثيابا خضرا من سندس وإستبرق (الكهف: 31)

Maksudnya: “Mereka itu, disediakan baginya syurga yang kekal, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka dihiaskan di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera yang nipis dan sutera tebal yang bersulam; mereka berehat di dalamnya dengan berbaring di atas pelamin-pelamin (yang berhias). demikian itulah balasan yang sebaik-baiknya dan demikian itulah syurga tempat berehat yang semolek-moleknya. (Q.S. Al-Kahf: 31)

Salah seorang pakar psikologi, Ardatsham, mengatakan, "Sesungguhnya pengaruh warna terhadap manusia sangat besar, dan saya pernah melakukan sejumlah penelitian dan menjelaskan bahwa warna berpengaruh terhadap kejiwaan dan semangat kita; merasa panas; atau dingin; atau nyaman; atau bahagia; bahkan boleh berpengaruh terhadap keperibadian seseorang dan berpengaruh terhadap kehidupan.

Sebuah hospital pernah mengundang sejumlah pakar untuk memberikan saranan bagi warna dinding ruang pesakit atau warna dinding hospital, sehingga ia boleh membantu dalam mengubati mereka. Hospital juga meminta saranan tentang warna yang terbaik untuk pakaian pesakit. Sejumlah eksperimen telah membuktikan bahawa warna kuning boleh membangkitkan semangat di saraf pusat. Adapun warna ungu boleh membangkitkan ketenangan; manakala warna biru, maka orang yang melihatnya akan merasa dingin. Sebaliknya, warna merah maka orang akan merasa panas atau gersang. Dan para pakar tersebut mengatakan bahwa warna yang boleh membangkitkan kebahagiaan, gembira, bersemangat hidup adalah warna hijau.

Oleh kerana itu, warna yang utama dan sesuai untuk bilik atau ruang pembedahan, pakaian para ahli bedah dan pakaian pesakit adalah warna hijau. Sebuah pengalaman unik telah terjadi di London, di kawasan Black Fryer yang dikenal dengan "kawasan bunuh diri" kerana majoriti kejadian bunuh diri banyak terjadi di kawasan ini. Kemudian diadakan perubahan warna dari warna gelap gurun ke warna hijau metalik. Dengan hal ini ternyata terjadi penurunan jumlah kejadian bunuh diri dengan sangat signifikan. Warna hijau juga boleh menjadikan pandangan mata menjadi nyaman.

Sumber: ( Kitab: Ma'a Al-Thib fii Al-Qur'an Al-Karim, Dr. Abdul Hamid Diyab, Dr. Ahmad Qarquz, Mu'assasah Ulum Al-Qur'an, Dimasyq. )

Wednesday, June 11, 2008

KHAULAH BINTI THA'LABAH


Oleh:Ustaz Shauqi Othman

Beliau ialah Khaulah Binti Tha'labah Bin Asram Bin Fahr bin Tsalabah Ghanam bin Auf. Ada pendapat yang menyatakan bahawa nama beliau ialah Khaulah Binti Malik Bin Asram Bin Fahr Bin Tha'alabah Bin Ghanam Bin Auf. Beliau merupakan seorang sahabiah daripada Ansar. Beliau dinikahi oleh Aus bin Samit bin Qais saudara kepada Ubadah bin Samit r.a yang mengikuti Perang Badar, Perang Uhud dan seluruh peperangan yang disertai oleh Rasulullah saw. Perkahwinannya dengan Aus inilah beliau melahirkan anak lelaki yang benama Rabi'.



Khaulah merupakan seorang wanita yang fasih berkata-kata, cerdik dan selalu merujuk kepada Allah dan RasulNya apabila menghadapi sesuatu masalah. Dalam keadaan apa sekalipun, imannya tetap teguh dan utuh. Surah al-Mujadalah menceritakan peristiwa penting yang berlaku kepada Khaulah iaitu ‘zihar’, dan ia dapat dijadikan panduan dan pengajaran kepada seluruh umat Islam.

KAITAN KHAULAH DENGAN SURAH AL-MUJADALAH
Pada suatu hari, Aus Bin Samit telah mengatakan kepada Khaulah Binti Tha'labah isterinya iaitu, "Bagiku engkau ini seperti punggung ibuku." Kemudian Aus keluar setelah mengatakan perkataan tesebut . Beberapa ketika kemudian, Aus masuk dan ingin bersama dengan Khaulah. Akan tetapi kesedaran hati dan kehalusan perasaan Khaulah membuatnya menolak hingga jelas hukum Allah tehadap kejadian ‘zihar’ yang baru pertama kali terjadi dalam sejarah Islam.
Khaulah berkata, "Tidak... jangan! Demi yang jiwa Khaulah berada di tangan-Nya, engkau tidak boleh menjamahku kerana engkau telah mengatakan sesuatu seperti yang telah engkau ucapkan terhadapku. Jadi, tunggulah sampai Allah dan Rasul-Nya memutuskan hukum tentang peristiwa yang menimpa kita."



Kemudian Khaulah keluar menemui Rasulullah saw dan duduk di hadapan Nabi serta menceritakan peristiwa yang menimpa dirinya dengan suaminya. Khaulah berdialog dan meminta fatwa tentang perkara tersebut. Rasulullah saw bersabda:"Aku belum pernah menerima perintah (wahyu) berkenaan urusanmu tersebut... aku tidak melihat melainkan engkau sudah haram baginya."



Khaulah mengulangi perkataannya dan menjelaskan kepada Rasululah saw apa yang akan menimpa dirinya dan anaknya jika dia harus bercerai, namun Rasulullah tetap menjawab, "Aku tidak melihat melainkan engkau telah haram baginya."



Selepas itu, Khaulah sentiasa mengangkat kedua tangannya memohon ke hadrat Ilahi untuk menguraikan kesedihan dan kesusahan yang terpendam di dalam hatinya itu. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah, al-Hakim, Baihaqi serta lainnya dari 'Aisyah r.a., dia berkata :"Maha Suci Allah yang pendengaran-Nya mendengar segala sesuatu. Sungguh aku mendengar perkataan Khaulah binti Tsa'labah dan sebahagiannyatidak dapat ku dengar, ketika dia mengadukan perihal suaminya kepada Rasulullah sawdan berkata : Wahai Rasulullah, dia menghabiskan masa mudaku dan aku banyak melahirkan anak untuknya. Setelah usiaku menjadi tua dan aku ber-henti melahirkan, dia melakukan zihar terhadapku. Ya, Allah, aku mengeluhkepada-Mu."



Kemudian turunlah wahyu (Surah al-Mujadalah ayat 1-5) yang bermaksud:
[1] Sesungguhnya Allah telah mendengar (dan memperkenan) aduan perempuan yang bersoal jawab denganmu (wahai Muhammad) mengenai suaminya, sambil dia berdoa merayu kepada Allah (mengenai perkara yang menyusahkannya), sedang Allah sedia mendengar perbincangan kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[2] Orang-orang yang "ziharkan" isterinya dari kalangan kamu (adalah orang-orang yang bersalah, kerana) isteri-isteri mereka bukanlah ibu-ibu mereka. Ibu-ibu mereka tidak lain hanyalah perempuan-perempuan yang melahirkan mereka dan sesungguhnya mereka (dengan melakukan yang demikian) memperkatakan suatu perkara yang mungkar dan dusta dan (ingatlah), sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[3] Dan orang-orang yang "ziharkan" isterinya, kemudian mereka berbalik dari apa yang mereka ucapkan (bahawa isterinya itu haram kepadanya), maka hendaklah (suami itu) memerdekakan seorang hamba sebelum mereka berdua (suami isteri) bercampur. Dengan hukum yang demikian, kamu diberi pengajaran (supaya jangan mendekati perkara yang mungkar itu) dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[4] Kemudian, sesiapa yang tidak dapat (memerdekakan hamba), maka hendaklah dia berpuasa dua bulan berturut-turut sebelum mereka (suami isteri) itu bercampur. Akhirnya sesiapa yang tidak sanggup berpuasa, maka hendaklah dia memberi makan enam puluh orang miskin. Ditetapkan hukum itu untuk membuktikan iman kamu kepada Allah dan RasulNya (dengan mematuhi perintahNya serta menjauhi adat Jahiliah) dan itulah batas-batas hukum Allah dan bagi orang-orang yang kafir disediakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.



ARAHAN NABI TERHADAP KHAULAH DAN SUAMINYA
Apabila turunnya wahyu, Rasulullah saw pun menjelaskan kepada Khaulah tentang kaffarah zihar:
Nabi: Perintahkan kepadanya (suami Khaulah) untuk memerdekakan seorang budak. Khaulah: Ya Rasulullah, dia tidak memiliki seorang budak yang boleh dia merdekakan. Nabi: Jika demikian, perintahkan kepadanya untuk puasa dua bulan berturut-turut. Khaulah: Demi Allah, dia adalah lelaki yang tua dan tidak mampu untuk berpuasa. Nabi: Perintahkan kepadanya memberi makan kurma kepada sebanyak 60 orang miskin. Khaulah: Demi Allah, ya Rasulullah, dia tidak memilikinya. Nabi: Aku bantu separuhnya. Khaulah: Aku bantu separuhnya yang lain, wahai Rasulullah. Nabi: Engkau benar dan baik, maka pergilah dan sedekahkanlah kurma itu sebagai kaffarah baginya, kemudian bergaullah dengannya secara baik. Maka Khaulah pun melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah itu.

KHAULAH DAN SAIDINA UMAR
Khaulah pernah memberhentikan Khalifah Umar bin al-Khattab ra yang sedang berjalan untuk memberikan nasihat kepadanya. Beliau berkata, "Wahai Umar, aku telah mengenalmu sejak namamu dahulu masih Umair (Umar kecil) tatkala engkau berada di pasar Ukaz, engkau mengembala kambing dengan tongkatmu, kemudian berlalulah waktu hingga engkau bernama Umar, kemudian berlalu hari demi hari sehingga memiliki nama Amirul Mukminin, maka bertakwalah kepada Allah perihal rakyatmu, dan ketahuilah bahawa sesiapa yang takut kepada siksa Allah maka yang jauh akan menjadi dekat dengannya, dan sesiapa yang takut mati, maka dia akan takut kehilangan, dan sesiapa yang yakin akan adanya hisab, maka dia takut terhadap azab Allah."

Khaulah menasihati Sayyidina Umar Amirul Mukminin, dalam keadaan Sayyidina Umar berdiri sambil menundukkan kepalanya dan mendengar perkataan Khaulah dengan baik. Seorang sahabat yang bersama Umar bin al-Khattab ketika itu mengatakan kepada Khaulah, "Engkau telah banyak berbicara kepada Amirul Mukminin wahai wanita!"

Sayyidina Umar kemudian menegurnya, "Biarkan dia,.. tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ke tujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya." Dalam riwayat yang lain, Umar berkata, "Demi Allah, seandainya beliau tidak menyudahi nasihatnya kepadaku hingga malam hari, maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu solat, maka aku akan mengerjakan solat, kemudian kembali untuk mendengarkannya hingga selesai keperluannya."



PENGAJARAN DARIPADA SIFAT KHAULAH

1. Kerukunan hidup suami isteri walaupun ketika tua. Kasih sayang di antara suami isteri di atas dunia ini, akan membawa kebahagiaan di akhirat nanti. Lantaran itu, Khaulah yang menyayangi suaminya berusaha mempastikan agar mereka tidak melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.
2. Sentiasa mencari penyelesaian dengan merujuk kepada Allah dan RasulNya. Alangkah baiknya seorang wanita muslimah seumpama Khaulah, beliau berdiri di hadapan Rasulullah saw dan berdialog untuk meminta fatwa, serta mengadu perihal dirinya kepada Allah. Ini adalah bukti kejernihan iman dan tauhid yang tersemat kukuh dalam hati sanubari hasil yang telah dipelajari dari Rasulullah saw
3. Isteri yang solehah. Nabi saw bersabda mengenai hal ini yang bermaksud: "Tidaklah orang mukmin mendapat faedah sesudah taqwa kepada Allah yang lebih baik daripada isteri yang solehah. Jika dia menyuruhnya, maka isteri mentaatinya. Jika dia memandang kepadanya, isteri menyenangkannya. Jika dia tidak ada di rumah, isteri memelihara harta dan kehormatan suaminya." Dalam hadis yang lain, nabi saw bersabda yang bermaksud: “Dunia ini perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah’.
4. Allah membatalkan hukum zihar yang merupakan perceraian pada zaman Jahiliyyah, sebaliknya digantikan dengan kaffarah.
5. Wajib kembali kepada al-Quran dan Sunnah dalam sesuatu hukum.

Sunday, June 1, 2008

POKOK GHARQAD YAHUDI




oleh: Ustaz Shauqi Othman

Nabi saw bersabda dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Tirmidhi bermaksud: "Tidak akan berlaku kiamat sehinggalah akan berlaku peperangan di antara orang Islam dan Yahudi, maka pada waktu itu (tentera) Yahudi akan dibunuh oleh (tentera) Islam, sehingga apabila orang Yahudi berselindung di sebalik batu dan pokok, lalu batu dan pokok itu akan bersuara dengan katanya: 'wahai muslim, wahai hamba Allah, di belakangku ini ada Yahudi, marilah bunuhnya', kecuali POKOK GHARQAD (yang tidak bersuara), kerana sesungguhnya ia merupakan pokok Yahudi".

Hadis ini menceritakan tentang peristiwa akhir zaman iaitu waktu hampir kiamat. Pada waktu ini tentera Yahudi yang dipimpin oleh Dajjal akan berperang dengan orang Islam. Dalam peperangan ini, orang Islam akan dapat membunuh dan menewaskan orang Yahudi sehinggakan apabila mereka berselindung di sebalik mana-mana batu dan pokok untuk menyelamatkan diri, maka dengan izin Allah pokok dan batu akan memberitahu tentera Islam tentang Yahudi yang berlindung di sebaliknya. Akan tetapi satu pohon yang tetap berdiam diri dan akan bersekongkol dengan Yahudi iaitu pohon yang bernama Gharqad.

Saya telah dimaklumkan bahawa orang Yahudi pada waktu ini sedang giat menanam pokok Gharqad secara berleluasa di Negara Haram Israel sebagai suatu persediaan menghadapi tentera Islam pada akhir zaman. Ini juga bermakna bahawa orang Yahudi sebenarnya memang tahu dan sedar tentang kebenaran Islam dan kebenaran hadis nabi saw....cuma keegoaan dan sikap bongkak mereka menyebabkan mereka tidak menerima ajaran Islam, sebaliknya terus berusaha memerangi umat Islam dari semasa ke semasa.

Ramai juga yang bertanya tentang bagaimanakah pokok Gharqad. Ada yang menyatakan bahawa ia pokok Krismas, dan ada pula yang menyatakan bahawa ia pokok ru, pokok kaktus dan sebagainya. Moga gambar pokok Gharqad yang dipapar di atas dapat menyelesaikan kekeliruan tentang gambaran pokok Gharqad. Dan yang pastinya pokok Gharqad tidak sesuai dengan iklim di Malaysia dan ia tidak tumbuh di tempat kita. Wallahu'alam.