MAT IJA










Friday, August 29, 2008

BERHATI-HATI DENGAN KURMA ISRAEL..



PERSEDIAAN MENGHADAPI RAMADAN...


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Pada tanggal hari Isnin minggu hadapan... Insya allah kita akan menyambut 1 Ramadhan. Apakah kita sudah bersedia untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang penuh dengan kemuliaan dan keberkatan itu?

Ibadah puasa yang difardukan oleh Allah pada bulan Ramadhan mempunyai hikmah dan rahsia yang tersendiri, akan tetapi adakah umat Islam kini benar-benar menghayati falsafah dan rahsia puasa Ramadhan yang diwajibkan ini? Terdapat sebahagian umat Islam yang berasa gembira dengan kedatangan bulan Ramadhan hanya semata-mata kerana teringatkan juadah makanan yang beraneka jenis dan rupa. Ada pula yang langsung tidak menghiraukan usaha untuk mencari keberkatan Ramadhan, sebaliknya sibuk membuat persiapan untuk menyambut ketibaan hari raya. Bulan puasa belum lagi menjelma, tetapi persiapan hari raya sudah pun dibuat.

Sekiranya umat Islam pada hari ini menghayati falsafah dan hikmah di sebalik kewajipan berpuasa, nescaya setiap individu muslim akan membuat persediaan rapi menyambut kedatangan Ramadhan dan akan berlumba-lumba untuk memanfaatkan Ramadhan dengan sebaik mungkin, serta bulan Ramadhan akan menjadi bulan yang paling bermakna dalam hidupnya. Hanya orang yang kenal dengan kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini. Betapa besarnya fadhilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami daripada hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim yang bermaksud: "Apabila masuk bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta dibelenggu semua iblis dan syaitan".

Puasa Ramadhan diwajibkan oleh Allah kepada umat Islam untuk melahirkan insan yang bertakwa sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183. Oleh itu, sewajarnya setiap individu muslim mengambil peluang yang luas yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan untuk mendidik diri kearah ketakwaan kepada Allah serta mendapat pengampunan daripadaNya. Untuk mempastikan agar mendapat ketakwaan, seseorang itu hendaklah membuat persiapan awal untuk berpuasa dengan 'cara yang sebenarnya' sebagaimana yang dikendaki oleh Islam, iaitu dengan berpuasa secara 'khusus al-khusus' seperti yang dijelaskan oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali.

Puasa bukanlah setakat menahan perut daripada makan, minum dan melakukan hubungan seksual di antara suami isteri pada siang hari semata-mata, akan tetapi puasa yang mempunyai kualiti ialah puasa yang menyeluruh, termasuk menjaga pancaindera serta hati nurani daripada terjebak dalam sebarang unsur maksiat. Puasa sebeginilah yang akan menghasilkan ketakwaan kepada Allah. Setiap orang harus bertanya pada diri, mampukah dia melaksanakan puasa dengan cara sedemikian?. Sesuatu yang amat merugikan bagi sesiapa yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya.

Pada suatu hari, Rasulullah menaiki mimbar (untuk berkhutbah), menginjak anak tangga pertama baginda mengucapkan 'amin', begitu pula pada anak tangga kedua dan ketiga. Selesai solat para sahabat bertanya, mengapa Rasulullah mengucapkan 'amin'? Lalu baginda menjawab, malaikat Jibril datang dan berkata: Suatu kerugian kepada seseorang yang bila namamu disebut, dia tidak mengucapkan solawat atasmu, lalu aku mengatakan amin. Kemudian malaikat berkata lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup bersama kedua orang tuanya tetapi dia tidak sampai masuk syurga, lalu aku mengucapkan amin. Kemudian katanya lagi, amat rugi orang yang berkesempatan hidup pada bulan Ramadhan tetapi tidak sampai terampun dosa-dosanya, lalu aku mengucapkan amin. Hadith ini telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad.

Dalam kegembiraan menyambut puasa di bulan Ramadhan, kita seharusnya memahami dengan sejelas-jelasnya akan hakikat, rahsia dan falsafah puasa yang tersirat. Kefahaman ini bukan sahaja membantu kita menjalani ibadah, tetapi dapat menolong kita untuk menunaikan puasa dengan sempurna. Ibadah puasa melatih manusia supaya bersabar menghadapi kesusahan atau bencana, penderitaan dan juga cabaran-cabaran hidup. Di samping itu, puasa juga dapat melatih manusia menjadi insan yang beramanah kerana tanpanya puasa akan menjadi batal dan tidak sempurna.

Puasa juga dapat melahirkan perasaan insaf dan belas kasihan serta bertimbang rasa. Hanya orang yang berpuasa sahaja dapat memahami atau mengetahui kesengsaraan orang miskin yang lapar dan dahaga. Melalui keinsafan ini, diharapkan seseorang muslim itu agar sentiasa prihatin dan memberikan bantuan serta sumbangan kepada golongan yang tidak berkemampuan. Orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah, akan dapat membentuk jiwa yang bersih, dapat menahan nafsu daripada melakukan sifat-sifat tercela dan sebagainya.

Dr. Yusof al-Qaradhawi pula dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam', telah menggariskan beberapa rahsia yang terdapat dalam amalan berpuasa. Antaranya ialah:

Puasa dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu.
Menyehatkan jasmani dan badan.
Mendidik kearah melakukan kebaikan.
Mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk.
Dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain.
Setelah mengetahui beberapa rahsia dan hikmah puasa Ramadhan, maka kita hendaklah mempersiapkan diri untuk menyambut kedatangannya dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Antara persiapan yang boleh dilakukan bagi menyambut kedatangan Ramadhan adalah seperti yang berikut:-

1. Mengulangi kembali ilmu yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan pedoman yang baik dan sempurna. Ilmu mengenai puasa termasuklah yang rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, adab berpuasa dan sebagainya.

2. Membuat persiapan dari segi rohani dengan memperbanyakkan taubat kepada Allah dan bermaafan sesama manusia.

3. Memperbanyakkan doa agar Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari sifat riak, ujub dan daripada segala rupa penyakit hati yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat untuk melaksanakan puasa dengan sempurna agar kita memperoleh ketaqwaan kepada Allah s.w.t.

5. Bersedia untuk memperbanyakkan amalan-amalan soleh dan amalan-amalan kebajikan di dalam bulan Ramadhan dengan melaksanakan amalan soleh sebaik mungkin di bulan Syaaban ini.

Saturday, August 9, 2008

BUNUH DIRI


Beberapa hari lalu, akhbar melaporkan bahawa mayat seorang pekerja kilang dijumpai tergantung bersama tali nilon di lehernya pada alang bilik di rumah. Beliau telah bertindak membunuh diri dan sebelum daripada itu, beliau telah membunuh dua orang anaknya dengan memberi mereka minum racun. Mengapa orang Melayu Islam kebelakangan ini sanggup melakukan perkara-perkara terkutuk yang diharamkan dengan sewenang-wenangnya? Biasanya bab bunuh diri ini hanya didapati dalam 'filem' Hindustan atau Tamil aje... tapi dewasa ini orang Islam pun tergamak melakukannya. Inilah menunjukkan dunia makin hampir dengan kiamat!.

Ajaran Islam telah mengharamkan perbuatan membunuh diri. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membunuh diri dengan besi di tangannya, dia (akan) menikam perutnya di dalam neraka jahannam, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang meminum racun lalu membunuh diri dengannya, maka dia (akan) meminumnya perlahan-lahan di dalam neraka jahannam yang kekal, (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya. Dan barangsiapa yang membunuh diri dengan menjatuhkan dirinya dari atas gunung, dia akan jatuh ke dalam neraka jahannam yang kekal (dan) dikekalkan di dalamnya selama-lamanya."


Dalam hadis yang lain pula, nabi saw telah menyatakan bahawa : ”Barangsiapa yang membunuh dirinya dengan sesuatu di dunia, maka dia akan disiksa dengan (alat tersebut) pada hari kiamat” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim). Sehubungan dengan itu, para ulama’ bersependapat bahawa perbuatan membunuh diri merupakan sesuatu yang haram dan berdosa besar. Antaranya ialah fatwa yang telah dikeluarkan oleh Syeikh Ibn ’Uthaimin: ”bunuh diri secara sengaja dengan sebab apapun, adalah diharamkan dan termasuk dosa yang paling besar”.

Kalau membunuh diri sendiri pun diharamkan, maka apatah lagi membunuh orang lain. Perbuatan membunuh orang lain jelas dilarang dan diharamkan di dalam Islam melalui firman Allah dalam surah al-Ma’idah ayat 32, yang bermaksud: “…barangsiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau bukan kerana membuat kerosakan dimuka bumi, maka seakan-akan dia telah membunuh manusia seluruhnya. Dan barangsiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan manusia…”. Dalam ayat ini, Allah SWT dengan jelas menghargai semua jiwa manusia. Membunuh manusia tanpa kebenaran sangat dibenci Allah SWT sehingga Allah menganggapnya sebagai kejahatan terhadap seluruh umat manusia.

Ada orang bertanya tentang jenazah orang yang membunuh diri apakah ia wajar dikebumikan ditanah perkuburan Islam? Jawapannya Ya... jenazah tersebut tetap disemadikan di tanah perkuburan Islam kerana orang yang membunuh diri itu masih dianggap Islam selagi tidak ada tanda-tanda bahawa beliau telah murtad atau telah keluar daripada agama Islam.

Sunday, August 3, 2008

HOW TO ENHANCE YOUR IQ,EQ & SQ,FROM ISLAMIC PERSPCTIVE


1. Menyedari
Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat 9 :
Maksudnya : “(Bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) Bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar).”


2. Menyerahkan Diri , surah Tunus ayat 72


Maksudnya : “"Oleh itu, jika kamu berpaling membelakangkan peringatanku, maka tidaklah menjadi hal kepadaku, kerana aku tidak meminta sebarang balasan daripada kamu (mengenai ajaran agama Allah yang aku sampaikan itu); balasanku hanyalah dari Allah semata-mata (sama ada kamu beriman ataupun kamu ingkar); dan aku pula diperintahkan supaya menjadi dari orang-orang Islam (yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah)".

3. Mendengar, firmanNya dalam surah Al-A’raf ayat 179:


Maksudnya : “Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. ”



4. Membaca, surah Fatir ayat 29:



Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; ”

5. Memerhati , al-Baqarah ayat 50 :


Maksudnya : “Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya. ”

6. Mempelajari, surah al-Nur ayat 41 :


Maksudnya : “Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan..”

7. Memikirkan, surah al-Nahl ayat 11


Maksudnya : “Ia juga menumbuhkan bagi kamu dengan sebab hujan itu tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun dan tamar (kurma) serta anggur; dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang mahu berfikir. ”

8. Menggunakan Aqal, Surah Yaasin ayat 68


Maksudnya : “Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?”


9. Memahami, al-An’am ayat 65:


Maksudnya : “Katakanlah: "Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah - berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain". Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya.”

10. Mengimani , al-Taubah ayat 99:


Maksudnya : “Dan sebahagian dari orang-orang A'raab itu ada yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan memandang apa yang mereka dermakan (pada jalan Allah itu) sebagai amal-amal bakti (yang mendampingkan) di sisi Allah dan sebagai (satu jalan untuk mendapat) doa dari Rasulullah (yang membawa rahmat kepada mereka) Ketahuilah, sesungguhnya apa yang mereka dermakan itu adalah menjadi amal bakti bagi mereka (yang mendampingkan mereka kepada Allah); Allah akan masukkan mereka ke dalam rahmatNya; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

11. Menghambakan Diri , al-Anbiya` ayat 19:

Maksudnya : “Dan (ingatlah) segala yang ada di langit dan di bumi adalah milik kepunyaan Allah jua; dan malaikat-malaikat yang ada di sisiNya tidak membesarkan diri dan tidak enggan daripada beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa penat dan letih.”

12. Berbuat Kebaikan, al-Maidah ayat 69


Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang Yahudi, dan orang-orang Saabiein, dan orang-orang Nasrani - sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah (dan segala RasulNya meliputi Nabi Muhammad s.a.w) dan (beriman kepada) hari akhirat serta beramal soleh, maka tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. ”

13. Bersabar, al-Tur ayat 48:


Maksudnya : “Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (memberi tempoh kepada mereka), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun. ”

14. Bersyukur, al-Syura ayat 33


Maksudnya : “Jika Ia kehendaki, Ia menghentikan tiupan angin, maka tinggalah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda (yang besar pengajarannya) bagi tiap-tiap seorang (mukmin) yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur. ”

15. Berzikir secara istiqamah, al-Hadid ayat 16 :


Maksudnya : “Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik - derhaka. ”

16. Mengambil Pelajaran, al-Ra’d ayat 19:


Maksudnya : “Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”


17. Menyucikan, surah al-Nazi’at ayat 18:

Maksudnya : “"Serta katakanlah kepadanya: `Adakah engkau suka hendak mensucikan dirimu (dari kekufuran)? ”

18. Meyakini, surah al-Maidah ayat 50

Maksudnya : “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal - kepada orang-orang yang penuh keyakinan - tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

19. Berjihad, surah al-Anfal ayat 74.


Maksudnya : “Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang-orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang-orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.”

20. Membuat keputusan berpandu Hukum Allah, surah al-Nur ayat 80:


Maksudnya : “Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. ”

21. Memelihara Diri, surah al-Tahrim ayat 6:


Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. ”

22. Bertawakkal surah al-Zumar ayat 38:

Maksudnya : “Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".”

23. Bertaqwa Kepada Allah, surah Ali Imran ayat 130

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah supaya kamu berjaya. ”

24. Kembali Kepada Allah, dalam surah Sad ayat 34:


Maksudnya : “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Nabi Sulaiman (dengan satu kejadian), dan Kami letakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak cukup sifatnya) kemudian ia kembali (merayu kepada Kami): - ”

25. Takut Kepada Allah, dalam surah Hud ayat 102-103 :



Maksudnya : “Dan demikianlah azab Tuhanmu, apabila ia menimpa (penduduk) negeri-negeri yang berlaku zalim. Sesungguhnya azabNya itu tidak terperi sakitnya, lagi amat keras serangannya. Sesungguhnya pada kejadian yang demikian, ada tanda (yang mendatangkan iktibar) bagi orang yang takut kepada azab akhirat, iaitu hari yang dihimpunkan manusia padanya. Dan hari yang demikian ialah hari yang dihadiri oleh sekalian makhluk.”