MAT IJA

Wednesday, September 24, 2008

Wednesday, September 17, 2008

MENGAPA PANDANG SEPI PADA LAILATUL QADR?



Oleh: Ustaz Shauqi


Firman Allah dalam Surah al-Qadr maksudnya: Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan al-Quran pada malam al-qadr (lailatul qadar), dan tahukah kamu apakah lailatul qadar itu?. Lailatul qadar lebih baik dari seribu bulan.

Lailatul qadar merupakan peluang terbaik kita, oleh itu jangan sia-siakan peluang keemasan iniAkan tetapi, suatu persoalan yang amat penting, iaitu mengapakah masih ramai di antara hamba-hamba Allah yang masih memandang ringan kepada lailatul qadar? Mungkin antara sebabnya ialah:

1. Mereka mengidap penyakit lemah iman, mereka kurang jelas tentang kebesaran dan kemuliaan serta ganjaran pahala pada malam al-qadar, sebaliknya mereka lebih nampak besar perkara-perkara materialistik yang boleh didapati dengan segera di dunia ini.

2. Selalu mengikut hawa nafsu sampai mereka tidak berhajat melakukan ibadat pada malam-malam sepuluh akhir Ramadan, kerana nafsu ingin berehat, mahu menonton TV, mahu berbual-bual kosong, mahu bersama-sama bantal, tilam dan kain selimut. Ada pula yang sibuk membeli-belah untuk persiapan raya sampai terlupa ganjaran yang disediakan oleh Allah pada malam al-qadar.


3. Penyakit panjang angan-angan. Mereka berangan-angan akan hidup seratus tahun lagi yang menyebabkan mereka membiarkan malam-malam sepuluh terakhir Ramadan berlalu begitu sahaja tanpa diisi dengan amal ibadat kepada Allah.

Kita mesti mengubati penyakit ini agar ia tidak menjadi semakin parah. Antara yang boleh dilakukan ialah:

1. Wajib kita menanam penuh keyakinan bahawa ganjaran pahala amal ibadat pada malam al-qadar memang amat besar yang mesti kita berlumba-lumba mendapatkannya.

2.Hendaklah kita menanam keazaman untuk jihad melawan kehendak nafsu agar kita dapat patuh kepada seruan al-Quran, panggilan surah al-Qadr, serta kita dapat meneladani ibadat yang pernah dikerjakan oleh junjungan besar Nabi kita Muhammad s.a.w. pada malam-malam sepuluh terakhir Ramadan.

3. Kita mesti membuang penyakit panjang angan-angan, dengan kita sentiasa ingat bahawa kita mungkin akan berjumpa dengan Malaikat Maut pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, kita amat perlu kepada persediaan amal ibadat sebanyak yang mungkin, lebih-lebih lagi amal ibadat pada malam al-qadar untuk bekalan kita selepas mati.

Marilah kita sama-sama menerima bonus Allah s.w.t. yang berupa nikmat Lailatul qadar dengan penuh kesyukuran dan ikhlas hati. Kita menyahut panggilan surah al-Qadr ini dengan azam untuk kita melaksanakan sebanyak-banyak ibadat pada sepuluh malam tersebut dengan melakukan solat fardu berjemaah, solat sunat terawih dan witir, membanyakkan bacaan al-Quran, mengulangi membaca surah al-Ikhlas, berzikir dan berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. dengan penuh harapan semoga kita termasuk di dalam golongan hamba-hamba Allah yang soleh.