MAT IJA

Wednesday, November 26, 2008

LELAKI..

Monday, November 17, 2008

TAKBIRATUL IHRAM DALAM SOLAT


Oleh: Mohd Sukki Othman (Ustaz Shauqi)

Takbiratul Ihram merupakan rukun qawli di dalam solat. Solat tidak sah tanpanya. Rukun qawli ialah rukun yang melibatkan bacaan atau sebutan. Oleh itu takbiratul ihram wajib dilafazkan dan ia tidak memadai sekadar dibaca di dalam hati. Kadang-kala ada yang tersilap dengan menganggap bahawa takbiratul ihram itu ialah mengangkat tangan sehingga ke paras bahu, sedangkan mengangkat tangan itu hanyalah sunat. Takbiratul ihram yang wajib ialah melafazkan kalimah ‘Allahu Akbar’. Sehubungan dengan itu, jumhur ulama’ berpendapat bahawa solat tidak sah kecuali dimulai dengan kalimah ‘Allahu Akbar’.

Dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Muslim dan Ibnu Majah, disebutkan bahawa nabi saw memulai solat baginda dengan ucapan Allahu Akbar. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Hakim pula telah disebutkan bahawa nabi saw mengangkat suaranya ketika bertakbir sehingga didengari oleh makmum dibelakangnya. Justeru, para ulama’ telah menyatakan bahawa bagi seseorang imam, disunatkan baginya untuk menguatkan takbiratul ihramnya sehingga boleh didengari oleh makmum dibelakangnya, manakala bagi seseorang yang menunaikan solat secara bersendirian, maka memadai baginya untuk memperdengarkan takbiratul ihram itu untuk dirinya sahaja (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhayliy 1/631).

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi, Abu Dawud dan Ibnu Majah, daripada Sayyidina Ali bahawa nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kunci solat ialah wuduk, pembukanya ialah takbir dan penutupnya ialah salam”. Imam al-Nawawi dalam Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa wuduk disebut sebagai miftah atau kunci solat, kerana hadas mencegah seseorang untuk melakukan solat. Mengenai sabda Rasulullah saw, “Tahrimuha at-takbir (pembuka solat itu takbir),” al-Azhari mengatakan bahawa kata at-tahrim berasal dari kata haramtu fulanan kadza (saya melarang si Fulan melakukan ini). Sedangkan setiap yang dilarang itu haram. Dengan demikian, takbir untuk pembuka solat disebut tahrim kerana dengan takbir seseorang itu diharamkan untuk bercakap, makan minum dan lain-lain yang bukan berkaitan dengan solat (Sila rujuk Sifat Solat al-Nabiy oleh Hassan ‘Ali as-Saqqaf ms 71).

Mengapakah kita dituntut untuk bertakbir dengan ucapan ‘Allahu Akbar’ ketika memulakan solat? Ucapan Allahu Akbar yang bermaksud ‘Allah Maha Besar’ itu dilafazkan bagi menghadirkan keagungan dan kebesaran Allah di dalam diri ketika kita mula menunaikan solat. Allah Maha Besar dari segala-galanya... Allah lebih besar dari segala perbuatan kita, Allah lebih agung dari segala makhluk yang ada dan Allah lebih besar dan agung daripada segala kekuasaan hatta dari sesuatu apa pun. Oleh itu, apabila seseorang itu mengucapkan Allahu Akbar dengan hati, lisan dan seluruh anggotanya, bererti dia mengetahui bahawa Allah lebih besar dari sesuatu apa pun, dan bahawasanya ia sedang berada di hadapan Allah yang Maha Agung.

Takbiratul Ihram hendaklah dilakukan dalam keadaan berdiri sambil berniat di dalam hatinya untuk mengerjakan solat tertentu. Dalam hal ini, nabi saw telah bersabda pada seseorang dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: “Jika engkau telah berdiri untuk mengerjakan solat, maka bertakbirlah”.

Kadang-kala didapati dalam masyarakat kita, mereka yang mengambil mudah persoalan takbiratul ihram ini sehinggakan ada yang bertakbir dalam keadaan duduk sedangkan dia mampu berdiri. Alasan yang diberikan ialah tidak mampu berdiri lama, lalu diharuskan untuk menunaikan solat secara duduk...lantas seseorang itu menunaikan solat secara duduk sejak dari awal takbiratul ihram sehinggalah mengakhiri solat dengan salam! Perbuatan ini dengan jelas menyebabkan terbatalnya solat seseorang itu. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu mampu berdiri sekadar untuk bertakbiratul ihram sahaja, maka ia hendaklah berdiri ketika mengucapkan Allahu Akbar, dan apabila selepas itu ia tidak mampu lagi untuk berdiri, baharulah dibenarkan untuk meneruskan solat secara duduk.

Satu perkara lagi yang wajar diberi perhatian ialah ucapan Allahu Akbar itu hendaklah dilafazkan dengan lidah, dan tidak memadai sekiranya diingatkan di dalam hati sahaja. Para imam dari mazhab yang empat berpendapat bahawa menggerakkan lidah dengan bacaan itu wajib. Menurut mereka, bacaan solat itu tidak cukup dilintaskan ke dalam hati saja tanpa dilafazkan. Perkara itu sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad saw yang jelas sahihnya. Al-Imam al-Ghazali pula dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin mengatakan bahawa al-qira’ah (membaca) itu seperti percampuran suara dengan huruf-huruf, dan itu harus disertai dengan suara. Sekurang-kurangnya harus didengar oleh diri sendiri. Jika tidak terdengar oleh dirinya sendiri, maka tidak sah solatnya. Al-Imam al-Nawawi dalam kitab al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab telah mengatakan bahawa bacaan perlahan yang paling minima ialah yang dapat didengar oleh dirinya sendiri, dalam keadaan sihat pendengarannya. Semua ini bersifat umum dan dituntut dalam semua jenis bacaan dalam solat seperti takbir, bacaan Fatihah, tasbih ketika rukuk dan sebagainya. Begitu juga dalam tasyahhud (tahiyyat), salam dan doa, sama ada bacaan yang bersifat wajib (rukun) mahupun yang sunat.

Sesuatu yang perlu diberi perhatian juga ialah apabila dikehendaki bacaan di dalam solat itu membacanya dengan memperdengarkan diri sendiri, ini tidak bermakna yang seseorang itu perlu menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain dalam solat. Terdapat mereka yang ditimpa penyakit ‘was-was’ sering membaca sesuatu bacaan di dalam solat dengan begitu kuat sehingga mengganggu solat orang lain. Perbuatan ini merupakan sesuatu yang tidak wajar kerana mengganggu orang lain di luar solat pun merupakan suatu kesalahan, apatah lagi perbuatan mengganggu orang lain semasa dalam solat!

Jumhur Fuqaha’ juga telah mensyaratkan bahawa seorang makmum wajib memulai takbiratul-ihram setelah imam melakukannya dengan sempurna. Jika ia mengucapkan takbiratul-ihram bersamaan dengan imam atau menyertai imam pada sebahagian bacaan takbiratul-ihram atau mengucapkannya sebelum imam selesai mengucapkan takbiratul-ihram, maka solatnya tidak sah. Hal ini kerana sekiranya seseorang itu bertakbir sebelum imam selesai bertakbir, ini bermakna ia mengikuti atau menjadi makmum kepada orang yang belum menunaikan solat kerana seseorang imam belum dianggap sedang melakukan solat, kecuali setelah ia selesai mengucapkan huruf ‘ro’ yang terakhir pada lafaz ‘Allahu Akbar’.

Tuesday, November 4, 2008



Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)
Dewasa ini, dunia semakin canggih. Kecanggihan yang ada bukan hanya terletak pada perkembangan teknologi dan kecanggihan penciptaan alat-alat moden sahaja, akan tetapi perangai dan kelakuan manusia pun semakin 'canggih'. Sekiranya kecanggihan yang dihasilkan itu merupakan sesuatu yang bermanfaat menurut syara', bolehlah ia dibanggakan. Akan tetapi sekiranya ia merobek budaya bangsa dan nilai ketimuran serta pegangan agama, maka ia adalah sesuatu yang memilukan.

Hari ini, fenomena wanita Melayu Islam yang bertudung kepala berpelukan bersama 'boyfriend'nya di taman-taman bunga, atau di atas motor yang dipecut laju, atau di tempat-tempat hiburan seperti di konsert-konsert yang melalaikan adalah merupakan suatu fenomena biasa yang boleh dilihat di mana-mana terutamanya di kota-kota metropolitan. Manakala lelaki Islam pula kelihatan begitu bangga apabila telinganya dihiasi dengan anting-anting yang berjuntaian, atau leher yang dililiti dengan rantai yang bergemerlapan, dan seluar yang sengaja dikoyakkan di lutut, kononnya mengikuti peredaran zaman. Itulah antara fenomena 'canggih' yang wujud dalam masyarakat moden yang 'tidak ketinggalan zaman' pada hari ini.

Persoalannya ialah mengapa masih terjadi sedemikian dalam sebuah masyarakat Islam hadhari yang sedang menuju ke arah ketamadunan yang tinggi? Apakah 'hadhari' hanya perlu ada pada pembangunan material semata-mata? Bagaimana pula dengan 'hadhari' dalam pembangunan jiwa dan akhlak manusia?

Sesungguhnya Islam ialah agama yang mulia dan sempurna. Sehubungan dengan itu, Islam telah menyusun dan memberikan panduan yang lengkap ke arah kehidupan yang baik dan sempurna. Firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3 bermaksud: Pada hari ini, Aku (Allah) telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. Islam yang lengkap dan sempurna ini dianugerahkan oleh Allah kepada manusia agar mereka dapat menuju kecemerlangan dan kegemilangan dalam kehidupan. Akan tetapi apakah cukup sekiranya seseorang itu hanya berbangga lahir dalam keadaan Islam sedangkan perangai dan tingkah laku yang dipamerkan tidak ada bezanya dengan orang bukan Islam?!

Nikmat Islam mahal harganya, namun berapa ramaikah yang tahu menilai nikmat tersebut? Dengan sebab itulah penekanan kepada ilmu merupakan perkara asas dalam Islam agar umat islam tidak tergolong daripada golongan yang hanya menjadi 'pak turut' dalam segala perkara tanpa melihat kepada kebaikan dan keburukan dalam sesuatu perkara yang diamal dan dilaksanakan dalam kehidupan.

Seseorang yang menghayati serta tahu nilai Islam, sudah tentu dia akan menghargainya dengan sebaik mungkin. Lihat sahaja Yusuf Islam yang dahulunya dikenali sebagai Cat Steven, daripada seorang 'rockers' bertukar menjadi seorang pendakwah Islam yang gigih. Prof Dr Maurice Bucaille, seorang tokoh perubatan Perancis yang terkenal dengan bukunya 'The Bible, The Qur'an and Science' tertarik dengan Islam melalui kajiannya terhadap ayat-ayat saintifik dalam al-Quran. Seorang bekas pelajar Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) di Scotland yang berbangsa Inggeris memeluk Islam adalah kerana kajian yang dibuatnya untuk mendapatkan Ijazah Doktor Falsafahnya itu sudah diterangkan maklumatnya di dalam al-Quran!.

Kajian yang telah dibuat oleh beliau ialah tentang kulit manusia yang tidak akan merasai sakit apabila dibakar berulang-kali. Beliau amat terpegun apabila mendapati bahawa al-Quran telah sekian lama membicarakan perkara tersebut melalui ayat 56 Surah al-Nisa' yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang kufur dan engkar kepada ayat-ayat keterangan Kami (Allah), Kami akan bakar mereka dalam api Neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka terus merasai azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah adalah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". Dalam ayat ini, dengan jelas Allah menyatakan bahawa kulit penghuni neraka yang hangus terbakar akan digantikan dengan kulit baru yang lain. Ia bertujuan agar penghuni neraka tersebut akan terus merasai sakit dan peritnya api neraka. Apabila menghayati ayat ini, lantas tanpa ragu-ragu lagi beliau terus memeluk agama Islam yang suci murni ini.

Jelaslah di sini bahawa orang yang memeluk Islam dengan penuh keyakinan hasil daripada ilmu yang dimiliki akan menghasilkan keimanan yang mantap dan teguh kepada Allah S.W.T. Akan tetapi, apabila Islam itu hanyalah dijadikan sebagai ikutan yang tidak didasarkan kefahaman yang jelas terhadap nilai dan kewajipan yang terdapat di dalamnya, maka akan wujudlah manusia yang Islamnya hanya pada nama tetapi perbuatan dan akhlaknya bercanggah sama sekali dengan Islam!. Ada pula yang mencampuradukkan budaya Islam dengan budaya luar yang merosakkan!

Justeru, tidak hairanlah apabila didapati remaja-remaja wanita yang bertudung di kepalanya, tetapi terbuka di bahagian bawahnya. Remaja yang bertudung kepala yang hanya menurut fesyen ini yang bukan berasaskan tuntutan syara' berpeleseran dengan orang yang bukan mahram yang akhirnya memburukkan imej Islam itu sendiri di mata masyarakat!. Maksiat dilakukan secara terang-terang tanpa langsung ada sifat malu. Begitu juga pemuda-pemuda yang waktu malamnya dihiasi dengan hiburan semata seolahnya hidup ini tiada tujuan dan matlamat. Ada pula yang mengucapkan 'alhamdulillah' ketika menerima sesuatu kejayaan dalam program-program maksiat seolah tiada nilai perkataan tersebut!.

Sedar ataupun tidak, perlakuan remaja lelaki dan wanita masa kini yang songsang itu sebenarnya adalah menunjukkan betapa berjayanya musuh-musuh Islam untuk menghancurkan akhlak umat islam melalui racun 'serangan pemikiran' yang sekian lama telah dirancang. Allah SWT telah memperingatkan tentang perkara ini dalam Surah al-Baqarah ayat 217 yang bermaksud: "Dan mereka (musuh Islam) terus memerangi kamu sehinggalah mereka memalingkan kamu daripada agama kamu, sekiranya mereka mampu". Musuh-musuh Islam tidak pernah jemu melaksanakan tugas mereka. Serangan pemikiran yang dilancarkan kepada umat Islam meliputi hampir keseluruhan bidang kehidupan manusia sehingga umat Islam sudah tidak dapat membezakan di antara hak dan batil.

Sehubungan dengan itu, umat Islam sewajarnya kembali merenung apakah kehidupan mereka pada hari ini menunjukkan bahawa mereka benar-benar memahami Islam. Apakah mereka rela menganut Islam hanya pada nama sahaja? Seterusnya apakah umat Islam kini dapat menjadi 'uswatun hasanah' kepada bangsa-bangsa lain yang terkapai-kapai dalam mencari kebenaran dan hidayah Allah. Apakah ertinya menganut Islam sekiranya kehidupan terpengaruh dengan gamitan kehidupan bukan Islam. Apakah juga ertinya kehidupan seorang muslim sekiranya mereka meninggalkan tuntutan agama dan memilih nilai-nilai hidup yang bertentangan dengan hukum dan nilai Islam.

Sudah tiba masanya untuk masing-masing merenung secara mendalam untuk kembali kepada penghayatan Islam dalam segenap aspek kehidupan. Umat Islam wajib kembali hidup secara Islam. Syeikh Fathi Yakan telah menggariskan beberapa perkara yang penting untuk dihayati agar dapat hidup secara Islam iaitu:

Mengetahui tujuan hidup
Kehidupan yang songsang timbul akibat seseorang yang tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan. Lalu mereka akan mencedok apa sahaja yang datang kepada mereka tanpa melihat baik buruknya. Sedangkan Allah SWT telah menyatakan dengan tegas dalam surah al-Zariyat ayat 56 tentang motif penciptaan manusia melalui firmanNya yang bermaksud: "Tidak Aku (Allah) ciptakan jin dan manusia kecuali supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu". Justeru, apakah seseorang yang sudah akil baligh masih tidak mempunyai matlamat dalam kehidupan mereka untuk mengabdikan diri kepada Allah?

Mengetahui nilai dunia berbanding akhirat
Kehidupan dunia hanyalah sementara. Kehidupan yang abadi ialah kehidupan di akhirat. Oleh itu, seorang muslim yang cerdik dan bijak ialah yang pandai menggunakan kesempatan hidup di dunia untuk kebahagiaan di akhirat. Apakah seseorang yang tanpa segan-silu melakukan maksiat semasa hidup di dunia akan memperoleh kebahagiaan di akhirat?

Menyedari tentang kematian
Kematian ialah sesuatu yang pasti. Firman Allah dalam Surah al-Mulk ayat 2 bermaksud: "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)". Adakah para belia hari ini menyedari hakikat kematian yang tidak mengenal usia? Apakah para remaja yang mati dalam keadaan meneguk minuman najis yang memabukkan atau yang meniarap di atas motor yang dipecut laju sambil memadamkan lampu itu berkeyakinan bahawa mereka mati dalam keadaan 'husnul khatimah'?

Mengetahui dan memahami hakikat Islam
Islam ialah agama ilmu. Orang yang berilmu sahajalah yang dapat merasai kehebatan nilai Islam, lantas tidak akan membuang masa mengejar keredhaan Allah. Manakala orang Islam yang Islamnya hanya pada nama yang tidak memahami hakikat Islam, nescaya akan tersasar jauh daripada kebenaran. Terdapat segelintir remaja lelaki dan wanita yang meninggalkan perintah Allah seperti solat, atau melakukan maksiat seperti tidak menutup aurat, lalu menyatakan bahawa Allah tidak melihat luaran, akan tetapi Allah melihat hati seseorang. Apakah orang sebegini memahami hakikat Islam? Apakah mereka tidak merenung sabda nabi S.A.W. yang bermaksud: "Sekiranya baik, baiklah keseluruhannya, dan sekiranya buruk, buruklah keseluruhannya, tidak lain dan tidak bukan itulah hati".

Mengetahui hakikat jahiliah.
Saidina Umar pernah berkata: 'ikatan Islam akan terungkai satu persatu apabila wujud di dalam masyarakat Islam itu mereka yang sudah tidak mengenali Jahiliah'. Apakah umat Islam pada hari ini sudah tidak mengenali Jahiliah, sehingga ada yang sanggup menderhaka kepada ibubapa, mengunjungi pub, disko dan kelab malam, berhibur di luar batasan, berpelukan di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram, berzina dan sebagainya?

Masanya sudah tiba untuk sama-sama merenung tanggungjawab dan amanah yang wajib ditunaikan sebagai seorang hamba Allah. Bukanlah masanya untuk umat Islam terus lena dan dibuai mimpi yang tidak berkesudahan sedangkan nilai dan ajaran Islam dilucut dan ditelanjangkan satu-persatu. Ibubapa wajib memberi perhatian kepada anak-anaknya yang masuk ke peringkat akil baligh akan tanggung jawab mereka sebagai hamba Allah. Masyarakat juga hendaklah prihatin dengan keadaan persekitaran agar busuknya bangkai maksiat itu tidak menerjah ke dalam hidung-hidung mereka. Kerajaan turut berperanan untuk mempastikan agar budaya songsang seperti hedonisme dan seumpamanya tidak terus berlegar dalam negara.

Inilah juga masa yang sesuai untuk umat Islam dalam segenap lapisan peringkat umur untuk bermuhasabah dan bertanya apakah sudah cukup Islam itu hanya pada nama? Jadilah seorang Islam yang sebenarnya dan seorang muslim yang hakiki yang mendapat keredhaan Allah S.W.T di dunia dan di akhirat.