MAT IJA










Tuesday, May 27, 2008

KENALI TOK KENALI...



Oleh: Ustaz Shauqi Othman

Nama sebenar beliau ialah Mohamad Yusof Bin Ahmad. Beliau juga dikenali dengan nama timangannya iaitu Awang dan Awang Kenali. Akhirnya beliau dikenali sebagai Tok Kenali. Beliau lahir pada tahun 1287H bersamaan 1868M di Kubang Kerian, Kota Bharu. Bapanya seorang petani, manakala ibunya Fatimah adalah seorang anak tok lebai yang berilmu dan kuat ibadat dikenali sebagai Tok Leh.

Tok Kenali menjadi yatim sejak kecil apabila ayahnya meninggal dunia pada usianya yang baru mencecah 5 tahun. Seterusnya beliau dipelihara oleh datuknya, Tok Leh. Hasil didikan datuknya, Tok Kenali boleh membaca dan menulis sejak dari kecil. Ibunya pula sentiasa mendoakan agar anaknya ini menjadi orang yang berilmu dan dapat menyumbangkan ilmunya kepada masyarakat. Selain itu, nenek tirinya iaitu Tok Mek Ngah amat prihatin terhadap makanan dan minuman yang dimakan oleh Tok Kenali. Dia tidak membenarkan Tok Kenali makan makanan sembarangan sebaliknya beliau sendiri yang akan memasak untuk diberikan kepada cucu kesayangannya itu.

Pengajaran yang wajar diambil daripada kehidupan Tok Kenali semasa kecil ini ialah doa ibu terhadap anak dan makanan yang dimakan hendaklah dipastikan secara bersungguh-sungguh agar makanan tersebut bersih, halal dan suci.

Tok Kenali merupakan kanak-kanak yang pintar. Ekoran kepintarannya itu, semasa berusia 9 tahun, beliau telah dilantik untuk menjadi kerani oleh Penggawa atau Penghulu Kubang Kerian iaitu Tok Kweng Ahmad. Tugasnya ialah membilang pokok buah-buahan orang kampung yang berbuah untuk dipungut cukainya oleh Pejabat Penggawa. Tok Kenali mula belajar al-Quran sejak kecil daripada datuknya iaitu Tok Leh. Seterusnya beliau berguru dengan Tuan Guru haji Ibrahim. Ingatan Tok Kenali cukup kuat, sehinggakan pada usia 6 tahun, beliau sudah mampu mengingati dengan baik pelajaran yang dipelajarinya, di samping sudah dapat membaca al-Quran dengan baik.

Semasa Tok Kenali berumur 10 tahun, beliau berulang-alaik ke Kota Bharu yang jauhnya lebih kurang 8 kilometer dengan berjalan kaki. Usaha gigih yang dilakukan oleh beliau ini adalah semata-mata untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Masjid Muhammadi terutamanya ilmu nahu Arab. Beliau berkeyakinan bahawa asas kepada pemahaman terhadap al-Quran dan hadis ialah penguasaan terhadap ilmu bahasa Arab terlebih dahulu kerana kedua-dua sumber utama dalam Islam diturunkan dalam bahasa Arab.

Ketika berumur 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pengajian agamanya di tanah suci Makkah. Kesungguhan Tok Kenali belajar ilmu di Makkah membuatkan Tuan Guru Syeikh Wan Ahmad Bin Ahmad Zain Mustafa al-Fatani telah mengambilnya sebagai anak angkat. Selama lebih kurang 25 tahun menuntut ilmu daripada alim ulamak di tanah suci Makkah, membuatkan Tok Kenali berjaya menguasai pelbagai disiplin ilmu.

Tok Kenali berjaya menjadi seorang ulamak yang pakar dalam bidang nahu dan tatabahasa Arab. Dalam bidang fekah, beliau berjaya menguasai ilmu dalam keempat-empat mazhab iaitu Syafei, Maliki, Hanafi dan Hanbali. Namun, mazhab Syafei menjadi asas kepada pegangannya. Dalam bidang tasawwuf, Tok Kenali mirip kepada aliran tasawwuf yang dibawa oleh Hujjatul Islam al-Imam al-Ghazali. Manakala dalam bidang akidah, beliau mirip kepada aliran Abu Hassan al-Asyaari dan Abu Mansur al-Maturidi.

Tok Kenali pulang ke tanahair untuk mencurahkan ilmu yang dipelajarinya pada tahun 1908. Beliau mengambil keputusan untuk pulang juga adalah ekoran kematian guru dan ayah angkat yang disayanginya iaitu Syeikh Wan Ahmad yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di bumi Makkah pada tahun 1906.

Sekembalinya beliau ke tanahair, beliau telah mengasaskan penubuhan dua buah pondok di kampung kelahirannya dalam mukim Kenali. Selain mengajar di pondok, beliau juga mencurahkan ilmu di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Setelah kematian ibunya, beliau berhijrah ke Kota Bharu dan menjadi tenaga pengajar utama di Masjid Muhammadi yang sememangnya terkenal pada waktu itu sebagai pusat pengajian terbilang di Nusantara. Setelah 5 tahun tinggal di Kota Bharu, beliau kembali semula ke kampungnya dan mengasaskan penubuhan pondok di Kampung Belukar dalam mukim Kenali. Dakwah yang disampaikan oleh Tok Kenali mendapat sambutan hangat apabila berduyun-duyun orang ramai datang untuk menuntut ilmu daripadanya. Apatah lagi pada waktu itu, masyarakat begitu mencintai ilmu dan majlis ilmu.

Tok Kenali bukan sahaja terkenal sebagai ulama besar pada waktu itu, tetapi masyarakat juga begitu kagum dengan akhlak dan keperibadian yang ditonjolkan oleh beliau. Antara akhlak dan keperibadian mulia Tok Kenali adalah seperti yang berikut:

Sangat menghormati dan memulaikan ibu bapa. Beliau sering memohon restu daripada ibunya sebelum melakukan sesuatu.
Seorang yang zuhud, merendah diri, sangat pemurah dan suka menderma.
Sentiasa berusaha memenuhi jemputan dan undangan orang ramai. Beliau tidak menghampakan hajat masyarakat terhadapnya kecuali apabila beliau mendapat keuzuran.
Gemar beriktikaf di masjid, membaca al-Quran dan banyak berzikir kepada Allah.
Minat yang tinggi terhadap ilmu dan suka membaca.
Suka berjalan kaki.Tidak bermewah dalam berpakaian, sebaliknya pakaiannya cukup berserdahana.Penyabar dan tidak mudah marah.

Antara sumbangan Tok Kenali dalam masyarakat Islam di Nusantara ialah:

-Mendirikan sistem pengajian pondok yang berkonsepkan pengajian secara 'halaqah'.
-Menggalakkan sistem hafazan dalam pembelajaran bahasa Arab, tauhid, fekah dan tasawwuf.
-Melahirkan ulama dalam pelbagai disiplin ilmu agama.
-Mendorong pembukaan sekolah-sekolah Melayu.
-Mengumpul dan menyimpan hasil kesusasteraan Melayu klasik.

Tok Kenali menghembuskan nafasnya yang terakhir setelah 2 bulan diserang sakit kaki. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana menderita sakit kaki dan tidak dapat berjalan, namun beliau tidak pernah mengeluh di atas segala kesakitan yang ditanggungnya itu. Beliau meninggal dunia pada hari Ahad 2 Syaaban 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi ketika berusia 65 tahun. Lebih daripada 2500 orang yang datang dari segenap pelusuk untuk menziarahi jenazah Tok Kenali. Lebih daripada seribu orang telah menunaikan solat jenazah untuk allahyarham Tok Kenali.

No comments: