MAT IJA










Sunday, June 22, 2008

BERSIN DAN MENGUAP..


Oleh:Ustaz Shauqi Othman

Rasulullah bersabda:
عن أبي هريرة رضي الله تعالى عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (( إن الله يحب العطاس ويكره التثاؤب، فإذا عطس فحمد الله فحق على كل مسلم سمعه أن يشمته، وأما التثاؤب فإنما هو من الشيطان فليرده ما استطاع، فإذا قال: ها، ضحك منه الشيطان )) صحيح البخاري في الأدب 6223

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bersin dan membenci orang yang menguap, maka jika seseorang itu bersin maka pujilah Allah, maka setiap orang yang mendengar pujian itu hendaklah menjawabnya (dengan mengucapkan rahmat kepadanya); adapun menguap, maka ia datang daripada syaitan, maka lawanlah ia sekuat kemampuanmu. Dan apabila seseorang menguap dan terdengar bunyi: Aaaa, maka syaitan pun tertawa kerananya". Sahih Bukhari, 6223.

Imam Ibn Hajar berkata, "Imam Al-Khathabi mengatakan bahawa makna suka dan benci pada hadis di atas dikembalikan kepada sebab yang termaktub dalam hadis itu. Iaitu bahawa bersin terjadi kerana badan yang kering dan tidak tercapainya rasa kenyang. Ini berbeza dengan orang yang menguap. Menguap terjadi kerana badan yang kekenyangan, dan badan terasa berat untuk beraktiviti, hal ini kerana banyaknya makan . Bersin boleh menggerakkan orang untuk beribadah, sedangkan menguap menjadikan orang itu malas”. (Fath-hul Baari: 10/6077)

Nabi menjelaskan bagaimana seseorang yang mendengar orang yang bersin dan memuji Allah agar membalas pujian tersebut.

Rasulullah bersabda:

(( إذا عطس أحدكم فليقل الحمد لله، وليقل له أخوه أو صاحبه: يرحمك الله، فإذا قال له يرحمك الله فليقل: يهديكم الله ويصلح بالكم )) صحيح البخاري في الأدب: 6224

Apabila salah seorang diantara kalian bersin, maka ucapkanlah Alhamdulillah, dan hendaklah orang yang mendengarnya menjawab dengan Yarhamukallah, dan bila dijawab demikian, maka balaslah dengan ucapan Yahdikumullahu wa Yushlihubaalakum (HR. Bukhari, 6224)

Para doktor di zaman sekarang mengatakan bahawa, "Menguap adalah gejala yang menunjukkan bahawa otak dan tubuh orang tersebut memerlukan oksigen dan nutrisi; dan kerana organ pernafasan kurang dalam membawa oksigen kepada otak dan tubuh. Hal ini terjadi ketika kita sedang mengantuk, lesu, dan seumpamanya. Menguap adalah aktiviti menghirup udara dalam-dalam melalui mulut, sedangkan mulut bukanlah organ yang sepatutnya digunakan untuk menghirup udara kerana ia tidak mempunyai penyaring udara seperti hidung. Maka, apabila mulut berada dalam keadaan terbuka ketika menguap, maka akan masuk juga pelbagai jenis mikrob dan debu, bersamaan dengan masuknya udara ke dalam tubuh. Oleh kerana itu, datang petunjuk nabawi yang mulia agar kita melawan "menguap" ini sekuat kemampuan kita, atau pun menutup mulut ketika menguap.

Bersin pula adalah berbeza daripada menguap kerana ia mengeluarkan udara dengan keras, kuat disertai hentakan melalui dua lubang: hidung dan mulut. Maka akan terkeluar daripada badan bersamaan dengan bersin ini sejumlah kotoran seperti debu, atau mikrob yang terkadang masuk ke dalam organ pernafasan. Oleh kerana itu, secara tabiat, bersin membawa manfaat yang besar bagi tubuh. Manakala menguap pula mendatangkan bahaya bagi tubuh. Justeru, setiap orang hendaklah memuji Allah ketika bersin, dan agar meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk ketika sedang menguap.

No comments: